Hidup Melebihi Kemampuan

SECARA rasionalnya, perspektif permikiran kita dalam melihat sikap golongan
muda yang suka berbelanja dan bergaya lagak yang di luar kemampuan mereka
ini bukanlah sesuatu yang baru dan menghairankan kerana ia seolah-olah sudah menjadi gaya hidup yang diterima oleh golongan muda khususnya dan masyarakat Malaysia amnya yang memang suka berhutang dan memberi hutang dengan mempunyai pelbagai maksud dan tujuan hidup.

Penulis ambil satu contoh mudah dengan melihat senario graduan yang telah tamat belajar dari universiti atau kolej. Dengan usaha, pengetahuan dan tuah badan, kita andaikan graduan yang telah tamat belajar tersebut terus diterima bekerja dengan purata gaji RM2,000 (contoh ini tidak termasuk bagi graduan yang kurang bernasib baik yang mendapat gaji yang tidak setimpal dengan kelulusan yang mereka capai iaitu RM800 – RM1,000).

Dengan gaji RM2,000, maka bermulalah kerjaya graduan tersebut sebagai eksekutif muda yang bekerja di bandar atau di kawasan pinggir bandar di mana mereka ditempatkan. Dengan semangat yang berkobar-kobar berserta dengan iringan doa dan kata-kata rangsangan ibu bapa, maka bekerjalah eksekutif muda tersebut dengan azam untuk membangunkan diri ke arah masa depan yang gemilang dan membantu ibu bapa dan keluarga yang telah banyak berkorban untuknya.

Tetapi setelah mengharungi hidup sebagai eksekutif muda dan terdedah dengan
persekitaran kerja yang mencabar mental dan fizikal, perubahan demi perubahan yang positif dan negatif telah banyak mengubah hidup eksekutif muda sehingga perubahan tersebut telah menjerat diri dan kehidupan mereka sebagai individu, pekerja dan sebagai anak dalam keluarga iaitu hutang. Bagaimana eksekutif muda ini boleh terdedah dengan hutang dan akhirnya
hidup dikelilingi hutang?

Mengapa???

Marilah kita bersama-sama melihat situasi ini dengan spesifik dan telus, mengapa eksekutif muda ini berhutang:

* Gaji bulanan, RM2,000

* Sewa rumah bilik, RM200 (berkongsi rumah dengan rakan).

* Ansuran kereta, RM300 (bergantung jenis kereta, kalau mahal harga keretanya, mahallah ansuran bulanannya).

* Duit minyak dan tol, RM450 (anggaran perjalanan pergi dan balik kerja, tidak termasuk perjalanan lain).

* Makan dan minum RM500 (hanya tanggung makan sendiri dan tidak termasuk
belanja rakan dan teman wanita atau belanja keluarga, kebiasaannya jarang belanja keluarga kerana belanja diri sendiripun terlepas.

* Sosial dan riadah, RM300 (urusan sosial bersama rakan dan hal peribadi, meraikan hari jadi rakan, tonton wayang, hari kasih sayanglah dan pelbagai aktiviti rehat minda bagi orang-orang muda, kononnya).

* Bayar bil, RM200 (bil api, air, telefon, bil pelbagai).

* Bayar kredit barangan RM300 (hutang set hi-fi, TV, peti sejuk, dapur masak dan pelbagai barangan elektrik).

* Barangan peribadi, RM200 (top-up kad prabayar, barangan kesihatan dan kecantikan, pakaian, kasut, aksesori diri bagi wanita, aksesori kereta dan pelbagai barangan kesukaan diri sendiri).

* Hal-hal kecemasan, RM100 (sakit, beri pinjam kawan, kereta rosak dan sebagainya).

* Simpanan RM100 (kerana memikirkan hendak kahwin, simpan sedikit, lama-lama jadi bukit).

Ini tidak termasuk lagi dengan arahan “perintah bayar” daripada pinjaman pelajaran mereka di universiti yang sering eksekutif muda ini saja-saja buat lupa tapi tidak pernah lupa untuk bayar perbelanjaan yang berkaitan dengan urusan peribadi mereka. Katakan eksekutif yang memaksa diri untuk bayar pinjaman secara minimum RM100, berapa gaji bulanan mereka yang tinggal?

* Pendapatan daripada gaji, RM2,000

* Perbelanjaan daripada gaji, RM2,750

* Baki gaji, RM – 750

Daripada contoh di atas, kita lihat tiada langsung baki daripada gaji bulanan eksekutif tersebut malah menunjukkan ketidakcukupan gaji setiap bulan iaitu sebanyak RM750. Ini andaian bagi gaya hidup eksekutif yang paling minimum dengan kos hidup semasa.

Cubalah bayangkan jika eksekutif tersebut mengamalkan gaya hidup mewah yang langsung tidak sepadan dengan gaji bulanan yang diterima. Berapalah agaknya kurangan gaji yang perlu mereka hadapi setiap bulan. Itu tidak lagi termasuk jika kita mempersoalkan duit yang perlu diberi kepada ibu bapa yang tidak berhenti-henti berdoa agar anak mereka mampu menghantar wang untuk membantu meringankan perbelanjaan keluarga.

Tapi apa yang nyata, harapan tinggal harapan yang tidak kesampaian. Tambah menyedihkan lagi, anak yang diharapkan membantu keluarga setelah bekerja, malah meminta wang lagi pada ibu bapa dengan alasan kos hidup tinggi dan baki gaji bulanan memang tidak cukup.

Bagi eksekutif muda yang sering tidak cukup wang kerana wang memang tidak akan pernah cukup bagi mereka kerana gaya hidup mereka itu akan mula memikirkan alternatif untuk mendapatkan wang tanpa perlu meminjam duit ibu bapa atau rakan-rakan kerana malu akan dicop muka subsidi akan menjadikankad kredit sebagai “abang long” mereka.

Dengan pelbagai promosi yang menonjolkan gaya dan aura kad kredit sebagai satu gaya hidup bagi eksekutif muda masa kini, maka terpesona dan terpanalah eksekutif yang sering putus wang ini untuk menggunakan kad kredit sebagai sumber kewangan alternatif mereka. Tanpa mereka sedari atau dengan sengaja tidak sedar diri, kad kredit itulah yang menjadikan mereka terus berhutang dan akhirnya menjadi hutang melilit pinggang.

Mengapa eksekutif muda ini berhutang? Persoalan ini bukannya susah untuk difahami tetapi tidak mudah untuk dicari penyelesaiannya. Jawapannya terletak kepada lima P:

1. Personaliti – peribadi dan sikap seseorang yang sememangnya suka berhutang kerana sudah menjadi satu kebiasaan kepada dirinya melihat ibu bapa, adik beradik dan saudara maranya yang memang suka berhutang untuk memenuhi kehendak dan keperluan diri. Ibu dan kakaknya suka berhutang beli perabot, hutang kain, hutang pinggan mangkuk, hutang langsir sehinggalah beli alat solek pun hutang. Jadi budaya berbelanja lebih dari pendapatan yang ada dan berhutang sudah jadi amalan biasa pada dirinya, malah mendapat sokongan padu daripada keluarga.

2. Pengaruh Persekitaran – hidup mereka sentiasa di kelilingi oleh mereka-mereka yang menjadikan hutang itu sebagai gaya hidup malah rakan-rakan sendiri memberi galakan untuk berhutang bagi membeli kereta yang kononnya setaraf dengan kerjaya sebagai eksekutif. Malah ada yang beri nasihat songsang pada rakan dengan mengatakan shopping and spending is a part of happiness, so go for it!. Pengaruh negatif inilah yang menjadikan
seseorang itu terus lena dibuai mimpi indah di atas tilam dan sofa yang juga dibeli secara hutang di kedai perabot!

3. Promosi – institusi kewangan dan yang berkaitan dengan kad kredit ini memang menyasarkan golongan muda dan berkerjaya sebagai pelanggan berpotensi dengan membuat promosi besar-besaran dan habis-habisan untuk menarik eksekutif muda ini menggunakan kad kredit. Pelbagai iklan dan mesej yang digunakan untuk memaksa eksekutif ini menggunakan kad kredit. Kehadiran jurujual yang tidak pernah penat senyum dan ketuk pintu pejabat memang menjadikan taktik-taktik promosi ini sebagai strategi untuk menarik golongan muda ini menggunakan kad kredit.

4. Pujian dan Perasan- sebagai eksekutif muda, banyak puji-pujian dan dorongan agar mereka ini terus kelihatan anggun, cantik dan bergaya selaras dengan umur yang masih muda dan kerjaya yang disandang. Kerana terlena dan perasan dengan pujian tersebut, maka berlumba-lumbalah eksekutif muda wanita dan lelaki ini membeli-belah barangan berjenama yang bukan murah harganya, falsafah mereka biar papa asal bergaya menjadikan mereka akhirnya papa dan merana kerana muflis. Siapa yang perlu dipersalahkan jika keadaan ini berlaku? Tepuk dada tanyalah selera!

5. Pokai / Kehabisan – selalu pokai atau tidak cukup duit kerana gaya hidup mewah inilah yang menjadi fokus utama mengapa golongan muda banyak berhutang. Mari kita lihat gaya hidup mewah yang menyebabkan golongan muda ini terperangkap dengan dunia yang mereka cipta sendiri dan bandingkan dengan gaya hidup ala kadar yang boleh membantu mereka berjimat cermat dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

Bagi golongan muda khususnya, tidak salah memilih apa juga gaya hidup yang anda kehendaki tapi ukurlah baju di badan sendiri, jalan mana yang hendak anda lalui, jalan menuju kebahagiaan atau kesengsaraan, andalah yang menentukannya. Jika hidup dikelilingi hutang, banyak tekanan secara mental dan fizikal yang perlu anda hadapi. Tekanan fizikal seperti sukar tidur malam, keresahan, gangguan fikiran, panas badan, pening kepala, kekeruhan air muka, kelesuan, kemarahan dan pelbagai simptom fizikal yang akhirnya menjejaskan kreativiti, prestasi dan produktiviti pekerjaan anda sebagai
eksekutif yang baru hendak mencipta nama dalam bidang yang anda ceburi.

Tekanan mental pula menjurus kepada gangguan jiwa sehingga menjadikan seseorang itu murung, beremosi yang tidak terkawal, sensitif, mengurung diri, takut pada bayang-bayang diri dan akhirnya boleh menjadi gila kerana tekanan jiwa yang dihadapi kesan daripada hutang tersebut. Jadikan diri anda debt free dan hiduplah secara ala kadar mengikut kemampuan diri.

Tags:

3 Responses to “Hidup Melebihi Kemampuan”

  1. mat Says:

    saja nak respon…..

    saya umur 34 tahun…grad USM…memang betul kita akan ada masalah hutang kalau kita tersilap plan….saya skg bebas hutang dan tak akan jadikan masalah masalah duit sebagai masalah besar…mula2 tu saya ada masalah sebab kerja swasta…kerja swasta jadi masalah sbb kerja kita tak ada penyudah/secure…bila saya masuk kerja ngan kerajaan masalah itu selesai..sbb penyudahnya ialah pencen di hari tua…saya pakai kereta wira, isteri pakai kancil….kereta dah habis bayar 7 tahun….dan tak plan nak tukar kereta sbb kereta sy jaga sentiasa tiptop berkilat2 basuh sendiri..kad kredit dulu2 saya pakai…skg dah tutup sbb dah stabil skg ni….duit gaji bulan2 sy guna buat belanja semata-mata dgn sedikit simpan dlm asb…sy juga berbelanja membeli barang berjenama sikit2 sbb taknak nampak kedekut sangat….jadi saya rasa saya tak ketinggalan dari segi gaya…..selipar adidas, baju adidas, jenama lain macam levispun ada, tapi banyak yg dibeli kat market di kelantan, cuma jeans jer sy beli levis ori sbb kualitinya jauh beza…pendek kata kalau bawak dua RM200 mcm2 boleh dibeli kat market…semuanya ada brand mahal…sbb saya dapat tahu mat salleh kat itali juga suka dgn jenama walaupun tak ori…jadi bg yg peka…mesti dapat tengok org kelantan pakai pakaian branded walupun tak ori…selangseli lah sikit dgn barang ori…baru tak nampak sgt kita pakai barang cikai…memang eksekutif muda kita dikelilingi hutang…sbb sy sendiripun pernah berada dlm situasi itu…tapi jgn jadikan hutang lama2….percayalah kalau 7 tahun selepas grad memang kita siksa sbb kita bukan org berada…banyak antara kita start dari zero…..lepas ni sy nak duit sewa rumah saya dan asb saya yg bayar kos pembelian saya bulan2 lepas ni…kalau kita ada RM200k kat asb…beli estima pun tak yah bayar dgn duit gaji…biar asb jer bayar..

  2. unikorn Says:

    itulah yang saya maksudkan… banyak orang tak sedar keperluan ada beberapa sumber pendapatan.. asb tu salah satu dari sumber pendapatan yang orang tak sedar.. dia cuma tau.. dia nak ape yang dia nak pakai sekarang… dia tak pikir untuk masa depan… macam abg mat kita senang.. sebab dia nak senang dia buat cara senang…

    mengenai sumber gaji kita dari swasta atau kerajaan sebenarnya terletak pada matlamat kita… org kata keja swasta tak secure.. tapi pilih la swasta yg GLC… macam TM, TNB dan yang seangkatan dengannya… kerja kerajaan memang secure dari segi pencen.. contoh macam abg kita nie bagus.. sebab asb dia dah penuh 200K… jadi kalau gaji dia kerja kerajaan RM5000 sebulan pun.. pencen RM2500.. kita ambil contoh kakitangan kerajaan yang gaji RM2000 – selepas pencen tinggal RM1000.. (ini tak tolak hutang apa2 lagi)… kalau asb dia tak de simpanan lansung.. kemungkinan dia akan ada masalah kewangan utk masa depan.. (kemungkinan saja)…

    saya pulak lebih suka KWSP berbanding pencen.. (incase saya ni berada dalam kerajaan)… sebab mencarum kwsp.. kita dapat kenaikan gaji at least 11-12% dari majikan.. kenapa? sebab bahagian caruman dari majikan minima 11-12% itu dikira sebagai duit kita jugak (sebab akaun kwsp kita)… bila kita bertukar ke skim pencen je.. kerajaan akan ambil bahagian caruman yang sepatutnya dulu dibayar kepada kita…

    kwsp ni pulak salah satu tools yang berguna utk kita penuhkan asb kita (guna pakai dengan beberapa tools lain contoh pinjaman perumahan (contoh saja).

    Tapi sebenarnya tak kira kita kerja kerajaan atau swasta, kita kena bina asas kewangan kita terlebih dahulu sebelum kita membuat sesuatu keputusan utk pembelian yang melibatkan jumlah wang (hutang) yang besar.

  3. 1929 gold indian head coin Says:

    Heya this is kind of of off topic but I was wondering if
    blogs use WYSIWYG editors or if you have to manually code with HTML.
    I’m starting a blog soon but have no coding experience so I wanted to get guidance from someone with experience.
    Any help would be greatly appreciated!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: