Insuran – pemindahan risiko atau simpanan masa depan

Assalamualaikum..

Mungkin kita biasa didatangi oleh mereka yang bergelar agen insuran dan kemungkinan kita akan membeli polisi insuran demi untuk mendapatkan perlindungan dari musibah disamping menabung untuk masa depan.  Tetapi ada juga yang lansung tidak mempunyai sebarang polisi insuran. Apa-apa pun terpulang pada diri sendiri untuk menentukan sama ada memilih untuk mempunyai perlindungan insuran atau lebih mudah bagi saya menyebut pelan pemindahan risiko atau pun memilih untuk  tidak membeli apa-apa pelan pemindahan risiko yang ditawarkan oleh syarikat insuran tadi.

Saya tidak mahu menyentuh mengenai hak sesiapa berkenaan isu membeli insuran. Tetapi apa yang ingin saya bincangkan ialah, adakah kita sebagai pengguna faham hak-hak dan keperluan kita dalam menentukan jenis insuran yang kita inginkan dan bukan hanya mengikut sahaja pelan yang disarankan oleh seseorang agen insuran, walaupun mereka itu sahabat, saudara-mara mahupun adik-beradik kita.

Selalunya, kita cuma membeli insuran yang agen insuran tawarkan. Sebagai contoh,  polisi insuran itu memindahkan risiko (mungkin kehilangan pendapatan) dari kemalangan, kematian, kecacatan kekal. Dan membayar bil perubatan kita dan juga untuk tabungan persaraan dimasa depan. Persoalannya adakah kita sebagai pengguna memerlukan kesemua itu dalam satu masa. Sekiranya kita cuma mengikut sahaja pelan yang ditawarkan oleh agen tersebut tanpa melihat keperluan kita pada masa itu, kita hanyalah membayar lebih untuk sesuatu yang kita tidak perlukan.

Contohnya, sekiranya syarikat tempat kita bekerja membayar 100% bil perubatan kita, jadi untuk apa kita memiliki polisi insuran yang menanggung bil perubatan kita, bukankah lebih baik lebihan pembayaran itu kita simpan di akaun pelaburan yang memberi lebih pulangan kepada kita. Begitu juga sekiranya syarikat anda mempunyai insuran kelompok yang membayar pampasan sekiranya anda tidak mampu meneruskan pekerjaan akibat kematian, kecacatan kekal atau pun atas sebab-sebab kesihatan, jadi kenapa perlu anda membeli pelan pemindahan risiko yang berkaitan dengan perkara ini. Bukankah lebih baik anda membayar diri anda sendiri ke dalam akaun pelaburan anda yang memberi lebih pulangan untuk persaraan anda.

Dan bagi saya sekiranya kita menabung/menyimpan wang kita menggunakan pelan insuran untuk pelan persaraan adalah satu tindakan yang kurang bijak.  Pernahkah anda tanya kepada agen insuran anda berapakah kadar pulangan yang diberikan atas caruman tahunan anda setahun.  Atau lebih mudah anda bandingkan jumlah yang anda perolehi apabila simpanan anda matang kelak dan bandingkan dengan jumlah yang anda akan perolehi sekiranya menyimpan di ASB (kiraan yang lebih mudah berbanding alat pelaburan yang lain). Bandingkan mengikut jumlah tahun yang sama, selepas membuat perbandingan anda akan mendapati bahawa selama ini anda cuma mengurangkan jumlah perolehan pendapatan anda dimasa hadapan.

Kecairan untuk simpanan dalam insuran juga tidak sebaik simpanan di ASB.  Sekiranya anda memerlukan wang dengan segera, anda boleh mengeluarkan wang anda bila-bila masa di ASB atau anda boleh menukar ke bentuk sijil untuk dicagarkan bagi mendapat kemudahan kewangan di institusi kewangan di Malaysia dan anda masih mendapat keuntungan bagi simpanan tersebut. Tetapi sekiranya anda mengeluarkan wang anda di dalam simpanan insuran, maka sebagai akibatnya anda tidak akan dibayar keuntungan bagi simpanan tersebut.

Bagi saya caruman untuk pelan simpanan persaraan menggunakan pelan insuran adalah tidak sebaik simpanan di ASB,  akaun simpanan tetap atau melabur dalam dana unit amanah  yang lain. Kerana bagi saya kenapa kita perlu membayar lebih untuk mendapat pulangan yang sedikit sekiranya kita mampu membayar sedikit untuk pulangan yang lebih besar.

Dan bagi saya insuran hanyalah satu pelan pemindahan risiko (bagi yang memerlukannya) dan bukanlah satu instrumen pelaburan yang baik seperti yang selalu dikatakan kepada kita oleh agen sesebuah syarikat insuran.  Sekiranya rakan-rakan berfikiran yang saya tidak mempunyai pelan pemindahan risiko, itu bermakna rakan-rakan silap. Saya mempunyai satu pelan pemindahan risiko iaitu pelan faedah hospital dengan membayar serendah RM35/bulan = RM420/tahun (itu pun dibayar secara percuma menggunakan keuntungan pelaburan saya pada tahun sebelumnya).  Bukan kerana syarikat saya tidak membayar yuran perubatan saya, tetapi kerana faedah elaun harian sebanyak RM150 – RM600 sehari bergantung atas sebab mengapa saya dimasukkan ke hospital (walaupun kerana demam).  Jadi pendapatan yang saya dapat semasa menginap di hospital boleh saya gunakan untuk menambah simpanan saya di akaun pelaburan saya.

 Jadi sebelum kita membeli satu-satu pelan pemindahan risiko, tanya pada diri kita, pelan yang bagaimana yang kita perlukan dan ingat satu perkara bahawa insuran adalah satu pelan pemindahan risiko dan bukannya simpanan untuk pelan persaraan masa depan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: